Rizal Van Geyzel dapat pasport untuk tunaikan umrah
PERMOHONAN pemilik kelab komedi Crackhouse, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel untuk mendapatkan sementara pasportnya untuk mengerjakan umrah, dibenarkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Rizal yang sebelum ini didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, memohon pelepasan dokumen itu untuk ke Tanah Suci pada 15 hingga 29 Mei depan.
Permohonan tersebut dibenarkan ole Hakim N Priscilla Hemamalini yang kemudian memerintahkan Rizal memulangkan kembali pasport tersebut kepada mahkamah pada 31 Mei ini.
Terdahulu, peguam M Pravin yang mewakili Rizal, berkata anak guamnya akan pulang pada 29 Mei ini dan akan mengembalikan pasportnya sehari atau dua hari selepas itu.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Abu Bakar tidak membantah permohonan tersebut.
Pada 22 Julai tahun lalu, Mohamad Rizal, 41, mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui Facebook ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, Mohamad Rizal berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya serta boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Beliau menghantar representasi kedua kepada Jabatan Peguam Negara pada 6 April lalu bagi menggugurkan tuduhan terbabit selepas representasi pertamanya ditolak pada 20 Januari 2023. – Malaysiapost