3 juta kenderaan dijangka guna KLK, LPT1 sempena Aidilfitri

3 juta kenderaan dijangka guna KLK, sempena Aidilfitri

LEBIH tiga juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sempena Aidilfitri ini.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata pihaknya menjangkakan jumlah trafik ke Pantai Timur akan mengalami peningkatan bermula dari 19 April hingga 21 April ini.

Beliau berkata, kesesakan trafik menghala ke Kuala Lumpur pula dijangka bermula dari 24 April dan 30 April sehingga 1 Mei ini.

“Peningkatan kenderaan itu memandangkan cuti Aidilfitri kali ini bersambung dengan cuti persekolahan dan cuti umum Hari Pekerja.

“Pengguna lebuh raya sudah pasti akan mengambil peluang cuti yang panjang ini untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga di kampung dan menziarahi sahabat handai.

“Kami berharap pengguna lebuh raya merancang perjalanan di musim perayaan dan percutian ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Radzimah berkata, pihaknya telah menerbitkan Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) dan akan mengedarkannya di Plaza Tol Gombak, Karak dan Bentong pada 16 April ini, selain membuat hantaran di laman sosial ANIH Berhad.

Beliau berkata, ANIH Berhad komited mempertingkatkan usaha mengurangkan kesesakan pada musim perayaan ini, termasuk dengan menambah sehingga 30 peratus bilangan kakitangan sokongan di plaza tol.

Katanya, bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh berkenaan, lebih 140 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditempatkan di beberapa kawasan strategik di sepanjang lebuh raya manakala jumlah pekerja pasukan rondaan LPT dan trafik ditingkatkan 20 peratus.

Beliau turut mengingatkan pengguna, agar memastikan baki e-Wallet dan kad Touch N’Go mencukupi bagi mengelakkan sebarang masalah berkaitan baki tidak mencukupi ketika di plaza tol sebelum memulakan perjalanan.

“ANIH Berhad juga bersiap sedia jika ada berlaku kecemasan atau kejadian yang tidak diduga dengan bantuan dan kerjasama daripada pasukan Emergency Response Team (ERT) iaitu daripada pasukan St John Ambulance, bomba dan polis,” katanya.

Beliau turut menasihati pemandu memandu secara berhemah dan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau hentian sebelah sekiranya perlu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights