Belanja berhemah elak sikap berlebihan sambut Aidilfitri, pesan Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati orang ramai supaya bersederhana dalam persiapan menyambut Aidilfitri serta mengelak bersikap berlebih-lebihan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, umat Islam disaran berbelanja secara berhemah kerana ia lebih bermakna dan dirahmati.

“Sebagai seorang mukmin yang berjaya, amalkan kesederhanaan di dalam persiapan sempena sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini dan elakkan sikap berlebih-lebihan.

“Belanjalah secara berhemah, barulah sambutan itu bermakna dan lebih rahmah,” tulisnya di Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno menyeru umat Islam menggandakan usaha untuk beribadah bagi mengejar ganjaran pahala di penghujung Ramadan.

“Daripada Aisyah RA: Nabi SAW apabila masuknya hari 10 terakhir Ramadan, Baginda akan menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam).

“Mengambil iktibar dari amalan Junjungan Besar Nabi kita Muhammad SAW di pengakhiran bulan Ramadan yang mulia ini.

“Marilah kita sama-sama gandakan usaha beribadah bagi mengejar ganjaran pahala dan mengambil kesempatan untuk merapatkan hubungan dengan yang Allah Maha Esa,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik dan kehidupan yang penuh barakah kepada umat Islam. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights