DAP takut Najib bebas ancam PH, Kerajaan Perpaduan – Puad

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan punca yang boleh membuatkan Kerajaan Perpaduan tumbang sekiranya beliau diberi pengampunan diraja.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, dakwaan veteran DAP, Lim Kit Siang mengenai perkara itu sebenarnya untuk menyembunyikan ketakutan DAP terhadap kebangkitan Umno.

Beliau berkata, DAP bimbang kebangkitan Umno boleh mengancam kedudukan Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan.

“Lim Kit Siang orang seterusnya mengatakan Kerajaan Perpaduan boleh runtuh sekiranya Najib Razak diberikan pengampunan diraja.

“Mereka takut jika Najib bebas. Dia ancaman kepada PH dan Anwar. Mereka takut, Umno tambah kuat melalui gabungan Najib-Zahid. Apatah lagi Zahid makin kukuh dalam Umno,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit itu turut membidas Kit Siang yang seolah-olah lupa tindak tanduk DAP ketika PH menjadi kerajaan selama 22 bulan dulu.

Mohd Puad berkata, DAP perlu sedar bukan sesuatu yang mudah untuk Umno memperbetulkan dasar ‘No DAP, No Anwar’ dalam memberi persetujuaan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Tegasnya, DAP menjadi punca utama untuk menghalalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat gerakan meruntuhkan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ‘Langkah Sheraton’ pada 2020.

“Kit Siang lupa DAP punca Kerajaan 22 bulan Tun M tumbang. DAP adalah alasan utama Muhyiddin buat ‘Langkah Sheraton’.

“Sebenarnya, DAP boleh jadi punca Kerajaan Perpaduan runtuh. Bukan Najib atau Zahid. Bukan mudah Umno betulkan dasar ‘No DAP No Anwar’. Gelagat DAP dan menterinya umpama bom jangka,” katanya.

Semalam, Kit Siang memberi amaran bahawa Kerajaan Perpaduan boleh runtuh sekiranya bekas Perdana Menteri itu diberikan pengampunan diraja.

“Saya fikir menjadi satu kesilapan untuk percaya bahawa Umno hanya boleh kembali ke zaman kegemilangannya jika Najib diampunkan.

“Sebaliknya, saya percaya pengampunan Najib sekarang tidak akan menguntungkan Umno sama sekali sebaliknya hanya akan menguntungkan PAS dan Bersatu, selain menyebabkan keruntuhan Kerajaan Perpaduan Anwar,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights