BAYARAN sumbangan khas RM600 secara ‘one-off’ kepada imam, bilal, siak, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) serta takmir akan dibuat selewat-lewatnya Isnin ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar, berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), baru-baru ini.
Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa menghargai jasa bakti murabbi ummah yang mendidik masyarakat selama ini.
“Kami berharap penyaluran sumbangan khas ini dapat memberikan keceriaan dalam suasana membuat persiapan sambutan Aidilfitri.
“Penyaluran pembayaran sumbangan khas ini akan disalurkan kepada kerajaan negeri selewat-lewatnya pada hari Isnin, 17 April 2023,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bantuan khas berkenaan adalah sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bersetuju memberikan sumbangan khas RM600 kepada 70,000 imam, siak, guru KAFA serta takmir yang membabitkan peruntukan lebih RM40 juta. – Malaysiapost