DATUK Azman Mohd Yusof mengesahkan beliau telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terlebih belanja untuk subsidi minyak masak pada tahun lalu.
Bagaimanapun Ketua Setiausaha KPDN itu menjelaskan, beliau tidak disiasat tetapi hanya memberi keterangan kepada SPRM berhubung proses yang berlaku berkenaan pengagihan minyak masak bersubsidi.
“Memang sudah dipanggil tahun lepas lagi dan ia bukannya dipanggil satu kes. Sebaliknya, dipanggil hanya untuk SPRM mendapatkan keterangan tentang proses yang berlaku berkaitan pengagihan minyak masak bersubsidi.
“Saya tak tahu mengapa berita mengenai isu ini dikeluarkan kembali, sedangkan berdasarkan bacaan saya, seolah-olah ada butiran dalam laporan berita itu tidak sepatutnya keluar kerana di peringkat rahsia, memandangkan itu maklumat berkait dengan siasatan yang dari situ juga mungkin berlakunya ketirisan.
“Saya sememangnya sedia untuk memberikan kerjasama dengan sesiapa sekalipun termasuk kepada Bukit Aman, memandangkan setakat ini saya juga menerima kerjasama yang baik daripada mereka dengan membantu saya membongkar banyak kes penyeludupan, khususnya minyak masak dan diesel,” katanya dipetik BH, hari ini.
Azman berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dua portal media tempatan berhubung dakwaan beliau berbelanja melebihi nilai RM9 juta, bagi tambahan kuota subsidi minyak masak pada tahun lepas, selain dakwaan terdapat pemotongan atau rasionalisasi dan kelulusan kuota yang diberikan kepada dua syarikat dengan alamat pendaftaran sama.
Portal itu yang memetik sumber, dilapor berkata, SPRM memanggil beberapa pegawai kementerian termasuk Azman.
Azman menegaskan, beliau meluluskan kuota tambahan minyak masak paket bersubsidi bagi memastikan bekalan mencukupi di pasaran, selaras dengan perundangan.
“Contohnya dalam undang-undang, ada kuasa-kuasa yang diberikan kepada pegawai-pegawai pembekal, iaitu KSU (Ketua Setiausaha) untuk membuat keputusan dan selalunya KSU akan mendapat pandangan terlebih dahulu daripada pegawai kanan, melalui jawatankuasa ataupun melalui kertas-kertas khas yang diangkat.
“Itu proses yang diberikan di bawah peruntukan undang-undang. Jadi, tidak ada pun mana-mana keputusan dibuat dengan melanggar mana-mana peraturan undang-undang,” katanya.
Jelas Azman, isu berkenaan timbul semula mungkin kerana rasa tidak berpuas hati dengan arahan baharu yang diberikan kepada pegawai di kementerian terbabit, untuk meneliti semula peraturan, proses, serta prosedur operasi standard (SOP) lama yang dianggap sudah tidak lagi sesuai. – Malaysiapost