Ben Ibrahim
PEMILIK 70 unit kediaman sebuah apartment di Jalan Datuk Lim Hoe Lek, di Kuantan, Pahang, mendakwa kehidupan mereka terganggu sejak 10 tahun lalu susulan aktiviti tidak bermoral yang dipercayai berlaku di kediaman mereka.
Selain mendakwa berlaku aktiviti pelacuran, penduduk juga mendakwa terdapat individu tertentu menjadikan apartment mereka sebagai inap desa.
Seorang wakil penduduk, Loke Piau Shan, 56, berkata, kehidupan mereka sangat tenang sebelum ini, sehinggalah seorang individu menjadikan kira-kira 30 unit apartmen sebagai inap desa untuk aktiviti mencurigakan.
“Tempat ini sudah ada dalam 20 tahun, sebelum ini pihak pengurusan dikendalikan syarikat lain dan 2018, ada satu orang ambil alih pengurusan.
“Selepas bertukar (pengurusan) masalah mula berlaku, macam-macam masalah, saya fikir ini (pengurusan) ada buat aktiviti tidak bermoral sebab dia ada 30 unit (inap desa) di sini.
“Kami ada jumpa kondom dibuang merata-rata, macam-macam jenis orang keluar masuk dalam kawasan pagar apartmen dan ia mendatangkan bahaya kepada keluarga kami,” katanya ketika ditemui di kawasan letak kereta apartmen itu, hari ini.
Loke yang bekerja sebagai tukang jahit memberitahu, dia sudah membuat laporan polis mengenai gangguan dihadapi penduduk di balai polis Kuantan dan meminta siasatan dilakukan di semua unit dimiliki individu terbabit.
“Kami cuma nak tahu siapa yang luluskan lesen ‘homestay’ kepada individu itu, semua orang mahu penjelasan dari pihak berkuasa tempatan atau mana-mana pihak yang mempunyai kuasa meluluskan lesen perniagaan kepada orang itu,” katanya lagi.
Sementara itu, ahli dewan undangan negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuan yang meninjau permasalah itu berkata, kebimbangan penduduk terbabit akan dibawa kepada perhatian pihak berkuasa dalam masa terdekat.
“Kita perlu semak terlebih dahulu lesen ‘homestay’ dikeluarkan oleh pihak mana dan cari juga siapa pemilik semua unit ‘homestay’ itu.
“Berkaitan dakwaan penduduk mengenai aktiviti pelacuran, saya dimaklumkan beberapa tahun lalu memang ada (aktiviti pelacuran) tapi selepas diserbu pihak polis, isu itu sudah selesai.
“Cuma saya diberitahu penduduk bahawa terdapat unit apartmen di sini yang disewa oleh warga asing, itu kita tidak tahulah mereka kerja apa atau ada buat (menawarkan) khidmat seks atau tidak,” katanya. – Malaysiapost