PERDANA Menteri Jepun Fumio Kishida berdepan detik cemas selepas diselamatkan daripada satu letupan kuat ketika sedang bersedia untuk berucap di sebuah pelabuhan di Wakayama, hari ini.
Objek menyerupai suar dengan kepulan asap itu dilontarkan ke arah pemimpin berkenaan, lapor agensi berita Kyodo.
Susulan kejadian itu, protokol kecemasan dilaksanakan menyebabkan Kishida terpaksa meninggalkan lokasi berkenaan.
Berdasarkan laporan stesen NHK, insiden terbabit berlaku selepas Kishida selesai melawat kolam ikan dan bersedia untuk berucap pada majlis berkenaan, pada jam 11.30 pagi.
Namun, bunyi kuat akibat letupan terdengar sejurus sebelum ketua kerajaan itu memulakan ucapannya.
Susulan kejadian itu, seorang lelaki ditahan, manakala Kishida berada dalam keadaan selamat.
Tiada pengesahan rasmi berhubung kejadian dengan polis tempatan enggan mengulas.
Rakaman daripada penyiar menunjukkan orang ramai melarikan diri ketika beberapa pegawai polis kelihatan menahan seorang individu, sebelum mengeluarkannya dari tempat kejadian.
Kishida membatalkan ucapan di Wakayama dan kini berada di Ibu Pejabat Polis Wilayah Wakayama.
Jepun memperketatkan kawalan keselamatan selepas pembunuhan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe, yang ditembak dan dibunuh ketika bercakap pada acara kempen pada Julai 2022.
Insiden itu berlaku ketika Jepun menjadi tuan rumah acara menteri G7 di utara Sapporo dan bandar Karuizawa di Nagano, dan menjelang sidang kemuncak pemimpin Mei di Hiroshima. – Malaysiapost
Kredit foto: Japan Times