SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan agihan kerusi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi mengahdapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah 80 peratus selesai.
Asyraf Wajdi berkata, perbincangan berhubung agihan kerusi itu tidak berdepan sebarang masalah besar dan berlangsung dengan lancar serta positif.
“Setakat ini saya boleh katakan 80 peratus sudah capai persefahaman dan bakinya perlu perincian
“Suasana di antara PH dan BN berhubung agihan kerusi ini amat harmoni sekali meskipun ini adalah kali pertama gabungan berlaku. Masing-masing bersikap terbuka,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis makan colek bersama media di Kota Bharu, malam tadi.
Asyraf Wajdi berkata, baki 20 peratus lagi masih memerlukan perincian sebelum ia dimuktamadkan.
Katanya, pemilihan calon dibuat berdasarkan lima parameter yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Perundingan.
“Saya tidak mahu memperincikan parameter berkenaan kerana ia adalah strategi kami, namun ia adalah asas untuk pimpinan negeri masing-masing memilih calon.
“Jawatankuasa Perundingan akan mengadakan mesyuarat berhubung agihan kerusi pada minggu pertama syawal.
“Kita beri peluang kepada pimpinan PH dan BN di peringkat negeri masing-masing untuk memilih calon yang layak bertanding pada PRN nanti,” katanya. – Malaysiapost