Aidilfitri: Ka Siong terkejut harga tiket penerbangan KL-Tawau lebih RM3,000

Aidilfitri: Ka Siong terkejut harga tiket penerbangan KL-Tawau lebih RM3,000

BEKAS Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ‘terkejut’ dengan harga tiket penerbangan Kuala Lumpur-Tawau sempena Aidilfitri yang mencecah lebih RM3,000.

Ka Siong yang juga Presiden MCA berkata, hasil semakan mendapati tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau untuk kelas ekonomi menjelang Aidilfitri iaitu pada 20 April 2023 menjangkau RM3,138.

Katanya, perkara tersebut sesuatu yang sukar untuk diterima sedangkan ketika pintu sempadan baru saja dibuka pada 1 April tahun lalu, tambang ketika itu hanya melebihi RM1,000.

“(Keadaan itu) kerana tidak banyak pesawat boleh beroperasi ekoran perlu melalui proses penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk tiga bulan sebelum dibenarkan beroperasi demi keselamatan.

“Pada masa itu, saya selaku Menteri Pengangkutan serta kerajaan dikritik teruk. Saya berdepan situasi tersebut dengan sebaik mungkin. Sekarang, bukan lagi isu sekatan pergerakan akibat Covid-19 atau MRO, tapi harga tambang dari Kuala Lumpur ke Tawau bernilai RM3,138 seorang.

“Macam mana keluarga B40 dan M40 khususnya warga Tawau di perantauan nak beraya tahun Ini?,” soalnya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, sekarang bukan waktu berlakunya pandemik Covid-19 dan sektor penerbangan kini sudah beransur pulih dengan kebanyakan pesawat tidak lagi didaratkan ‘grounded’ seperti waktu pandemik.

Katanya, syarikat penerbangan tiada alasan untuk tidak menambah frekuensi selagi ada kemampuan dan tiada lagi sekatan ‘passenger load’ sebanyak 50 peratus sewaktu Covid-19 yang memberi justifikasi harga tambang penerbangan melonjak tinggi.

“Tambahan pula, frekuensi penerbangan tidak lagi dikawal oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah atau Sarawak, MYAIRLINE telah pun beroperasi pada 1 Disember 2022, malah MAVCOM pun telah meluluskan banyak penerbangan seperti zaman pra Covid-19,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan syarikat penerbangan supaya ‘berpada-pada’ dalam menawarkan tambang dan tidak meletak harga terlalu tinggi hingga membebankan rakyat.

“Jangan sampai seluruh rakyat membuat andaian bahawa syarikat penerbangan tertentu dilihat mengeksploitasikan keadaan dengan mengaut keuntungan tinggi sehingga semua kerugian yang ditanggung semasa Covid-19 mahu dipulihkan (recovered) dalam tempoh yang singkat.

“Saya jangkakan jawapan standard kerajaan adalah ‘dasar kerajaan tidak mengawal tambang penerbangan kerana dynamic pricing mechanism’.

“Apa pun, tak kira zaman siapa memerintah, acap kali MOT menjawab sebegitu, rakyat sukar menerima jawapan standard tersebut. Kepada syarikat penerbangan, tolonglah rakyat. Kasihanilah rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen