Aliff Syukri mengamuk dakwa Yana pecahkan pasu mewah RM400,000?

NAMA usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri kembali menjadi bualan netizen apabila tular video dirinya mengamuk di media sosial sejak petang semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas Aliff berang apabila pelakon, Yana Samsudin terpecahkan sebuah pasu hiasan mewah berharga hampir RM400,000 yang dibeli usahawan itu melalui jualan lelong di China.

Menurut penerbit sebuah rancangan raya terbitan Astro Warna iaitu Alif Farhan, kejadian itu berlaku di rumah agam Aliff, dua minggu lalu.

“Yana pula adalah hos program berkenaan dan ketika penggambaran sedang dijalankan, dia tidak sengaja terlanggar sebuah pasu hiasan di ruang tamu rumah Datuk Aliff,” katanya.

Alif Farhan berkata, pihaknya masih dalam proses perbincangan dengan Aliff dan Yana untuk menyelesaikan isu tersebut.

Ditanya tarikh dan masa program itu akan disiarkan kelak, Alif dalam nada kecewa mengatakan proses penggambaran masih belum habis dan tertangguh disebabkan permasalahan yang timbul.

Terdahulu, tular klip video yang dimuat naik Aliff di Instagramnya petang semalam memaparkan pergaduhan antara dirinya membabitkan pasangan selebriti Yana dan suami, Fadzil Fariz.

Menerusi video itu, kelihatan keadaan kelam kabut manakala Yana seperti berusaha menenangkan suaminya yang sedang marah.

Aliff pula kelihatan berang dan bertindak meninggikan suara meminta pasangan selebriti berkenaan mengganti sesuatu yang didakwa perhiasan mewah yang rosak di kediamannya.

Klip video itu mengundang rasa ragu dikalangan netizen yang menyifatkan persengketaan itu hanya sebagai gimik pasaran usahawan kontroversi terbabit. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights