GARA-GARA cinta yang tidak kesampaian, seorang lelaki naik berang lalu nekad menyimbah petrol dan membakar kedai tempat wanita itu bekerja.
Kejadian itu berlaku di Jalan Besar Langkap, Teluk Intan semalam, namun tidak meragut sebarang nyawa.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek berusia 54 tahun itu, sebelum ini dikatakan sering datang ke kedai untuk memikat wanita terbabit.
Namun katanya, hasrat lelaki itu ditolak secara baik kerana wanita itu telah berkahwin dan mempunyai tiga anak.
“Sebelum kejadian kebakaran itu, kita ada menerima laporan daripada mangsa berkaitan seorang lelaki datang ke kedai dan mengamuk sekitar pukul 2.30 petang. Menurut wanita berusia 46 tahun itu, suspek turut mengeluarkan kata-kata lucah dan mencederakannya selain mengugut membakarnya dan tempat dia bekerja,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Ahmad Adnan berkata, kebakaran kedai yang juga milik adik wanita itu berlaku ketika mangsa berada di Balai Polis Langkap untuk membuat laporan.
Jelasnya, menurut saksi di tempat kejadian, mereka melihat suspek datang menyimbah petrol sebelum membakar kedai tersebut.
“Tindakan pantas polis berjaya menahan suspek. Semasa tangkapan dijalankan, suspek mengalami kecederaan melecur di bahagian muka, tangan dan kaki . Ketika tangkapan dibuat, suspek juga dalam keadaan mabuk dipercayai di bawah pengaruh alkohol. Suspek dimasukkan ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan susulan,” katanya.
Suspek yang tidak bekerja itu kini ditahan reman lima hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 435/323 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost