PRN: Sokongan rakyat kepada BN dijangka merosot – Noh Omar
BEKAS Ahli Majlis Kerja tertinggi (MKT) Umno, Tan Sri Noh Omar menjangkakan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) terus merosot pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang
Beliau yang juga bekas Pengerusi Umno Selangor berkata, rakyat tidak percaya dengan prinsip parti itu yang sebelum ini lantang dengan prinsip ‘No Anwar, No DAP’, sebaliknya menjalin kerjasama membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Rakyat berasa mereka ditipu, lain cakap lain yang dibuat. Ini bukan saya cakap, ini apa yang anak muda beritahu mereka tidak mahu BN, sebaliknya Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Malah, Noh percaya Umno tidak lagi kuat terutama di kawasan majoriti Melayu termasuk di Selangor.
Katanya, berdasarkan kepada keputusan PRU15 lalu, semua kubu kuat parti itu tewas termasuk di Parlimen Tanjong Karang.
“Rakyat sudah nampak bahawa Umno bukan lagi payung untuk melindungi perjuangan orang Melayu, sebaliknya sekarang menumpang payung (parti lain) pula,” katanya.
Sebelum ini, Noh yang dipecat Umno pada Januari lalu kerana pelanggaran disiplin parti, memuji kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengemudi parti tersebut.
Beliau menyifatkan Dr Mahathir seorang pemimpin berprinsip tinggi apabila Umno bebas daripada individu yang terpalit daripada kes mahkamah. – Malaysiapost