Terima kasih masih cinta kepada Umno, tapi jangan adu domba – Saarani

TERIMA kasih saya ucapkan kerana masih lagi prihatin dan ada rasa cinta kepada Umno, kata Datuk Seri Saarani Mohamad.

Bagaimanapun Pengerusi Perhubungan Umno Perak itu menasihatkan bekas ahli parti itu tidak perlu mencampuri urusan Umno apatah lagi jika berniat untuk mengadu domba serta mencetuskan provokasi dalam parti.

Menteri Besar Perak itu menegaskan, Umno bukan bersikap sombong kerana enggan melayan kritikan yang dibuat bekas ahlinya, sebaliknya tidak mahu ianya menjadi satu proses mengadu domba dan provokasi.

“Agak sukar apabila ketika ini orang di luar Umno yang banyak bercakap mengenai parti ini. Kalau sudah bukan ahli Umno, tak perlu masuk campur hal parti.

“Bukan bermakna kita sombong sampai tak dengar cakap orang lain. Tetapi janganlah ia menjadi satu proses mengadu domba dan provokasi. Tak perlu, tak perlu. Cukuplah dengan apa yang telah kita lalui selama ini.

“Terima kasihlah sebab ramai berminat untuk bercakap perkara yang berkaitan dengan Umno, tetapi Umno yang akan buat keputusan. Apa pun keadaannya, Umno yang akan buat keputusan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan dan Kotak Global Sdn Bhd bagi Program Mahasiswa Perak Sejahtera 2030, di Ipoh, hari ini.

Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dibuat Pemuda Umno Perak, sayap itu enggan melayan sebarang kritikan yang dibuat bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, selepas dipecat daripada parti.

Menjelaskan mengenainya, Saarani berkata, Umno kini sudah berada di landasan betul dan biarlah segala kerosakan dalaman Umno diperbaiki oleh kepemimpinan Umno yang baharu.

“Perkara yang patut ditinggalkan, sudah ditinggalkan dan yang patut melalui pemutihan juga, sudah diputihkan. 

“Jadi sekarang, biar kepemimpinan Umno yang baharu memperbaiki segala kerosakan yang mungkin telah berlaku. Kita nak terus bergerak, melihat ke hadapan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights