Agong saran bawa pulang segera rakyat Malaysia di Sudan jika keadaan bertambah tegang.
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat untuk bersama Baginda mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di Sudan berikutan krisis yang berlaku di negara berkenaan.
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh masjid mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah SWT agar rakyat Malaysia berada di bawah lindungan-Nya dan ketegangan di Sudan dapat dihentikan dengan segera.
“Seri Paduka Baginda juga menyarankan agar kerajaan Malaysia bersedia untuk membawa mereka pulang ke tanah air secepat mungkin sekiranya keadaan bertambah tegang,” menurut Istana Negara.
Terdahulu dilaporkan seramai 29 rakyat Malaysia telah dikenal pasti berada di Sudan ketika ini membabitkan 11 pelajar dan masing-masing seorang pekerja di bawah Petronas, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Susulan itu, Wisma Putra telah melancarkan bilik operasi 24 jam bagi memantau keadaan semasa pergolakan yang berlaku di Sudan. – Malaysiapost