Ahli Parlimen pembangkang masih tidak dapat peruntukan
KERAJAAN Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa masih belum memberikan sebarang peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen pembangkang sehingga kini walaupun Belanjawan 2023 sudah diluluskan.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa kesemua 74 Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan untuk rakyat di kawasan Parlimen mereka.
Menurutnya, mereka masih menanti peruntukan berkenaan kerana ia adalah hak rakyat.
“Pada 10 malam terakhir (Ramadan) kami akan terus berdoa kepada Allah SWT supaya memberi rezeki kepada kami supaya terus membuat kebajikan kepada orang ramai.
“Kami di Parlimen Arau, Kangar dan Padang Besar, Perlis tidak dapat apa-apa peruntukan. Demikianlah 74 Ahli Parlimen PN tidak dapat apa-apa,” katanya di Facebook.
Beliau menegaskan, kesemua Ahli Parlimen PN memenangi pilihan raya atas pilihan rakyat dan peruntukan yang dituntut adalah hak rakyat.
“Padahal kami bertanding pilihan raya dan kami menang, kami bukan menuntut duit siapa-siapa. Inilah duit kerajaan yang mana kerajaan sudah luluskan dalam bajet.
“Bila bajet dah lulus, bajet berkenaan adalah untuk semua bukan hanya Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH)
“Tapi tidak mengapalah tak beri pun tak apa, kita akan berdoa supaya Allah terus bagi rezeki kepada kami untuk terus buat kebajikan kepada rakyat,” katanya.
Shahidan sebelum ini mendakwa, Ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak menerima peruntukan untuk kawasan masing-masing, sebaliknya semua Ahli Parlimen kerajaan telah mendapat peruntukan.
Menurutnya, adalah tidak wajar apabila duit kerajaan diedarkan secara tidak adil antara wakil rakyat kerajaan dan wakil rakyat pembangkang. – Malaysiapost