Anwar jamin memartabat penguasaan bahasa, budaya Melayu

Anwar jamin memartabat penguasaan bahasa, budaya Melayu

DATUK Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan pimpinannya akan terus memberi sokongan dalam usaha memartabatkan penguasaan bahasa dan budaya.

Serentak itu beliau berkata, sebanyak RM20 juta diperuntukkan kepada Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dan RM5 juta kepada Yayasan Karyawan dalam usaha memartabat elemen bangsa Melayu agar sentiasa dihormati. 

Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkongsi hasratnya untuk menjaga elemen survival bangsa dan tradisi yang boleh mengangkat maruah negara. 

“Saya juga akan terus berikan sokongan dalam usaha memartabatkan penguasaan bahasa, budaya yang menggali karya penting yang menjaga survival bangsa dan tradisi yang boleh mengangkat maruah negara.

“Bagi tujuan itu kerajaan telah meluluskan peruntukan RM25 juta kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Yayasan Karyawan bagi meningkatkan usaha menerbitkan karya bermanfaat kepada negara.

“Sejumlah RM20 juta diberikan kepada DBP seperti diumum menerusi Belanjawan 2023 sementara RM5 juta lagi diberi kepada Yayasan Karyawan,” katanya. 

Terdahulu Perdana Menteri hadir ke Dewan Bahasa Pustaka untuk meluncurkan karya terbitam Yayasan Karyawan. 

“Tengah hari ini saya berpeluang meluncurkan Karya Agung terbitan Yayasan Karyawan iaitu ‘Sayr Al-Salikin’ dan ‘Hikayat Iskandar Zulkarnain’ di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP Kuala Lumpur.

“Dalam ucapan saya tekankan kepentingan menggali, menelaah dan membangkitkan karya-karya penting ini,” katanya. 

Dalam hantaran itu, Anwar turut mengingatkan kegemilangan ulama Melayu pada abad kesembilan belas. 

“Begitu juga dengan Shaykh Daud bin Abdullah al-Fatani, ulama Melayu abad kesembilan belas yang menulis kitab jawi lama yang membahaskan perihal solat, berjudul ‘Munyatul Musalli’ (impian orang yang bersolat) walaupun kitab ini adalah mengenai solat, pada bab yang terakhir dalam kitab iaitu ‘Tatmīm al-Fā’idah’, Shaykh Daud telah menyentuh mengenai kepemimpinan dan keadilan. 

“Al-Fatani menulis bingkisan-bingkisan kisah yang mampu memberi kesedaran kepada sang penguasa untuk menambahbaik kesejahteraan bagi keseluruhan masyarakat yang dipimpinnya, melalui pengamalan pemerintahan yang adil,” katanya. – Malaysiapost

Komen