Calon MB Negeri Sembilan dari Umno?

Aiman Hanif

UMNO dijangka akan mengetuai kerajaan negeri Sembilan jika Barisan Nasional (BN)- Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut sumber dalaman Umno perkara itu telah dipersetujui dalam perbincangan awal yang berlangsung antara pemimpin BN dan PH.

“Dalam perbincangan awal berhubung agihan kerusi, pemimpin BN-PH bersetuju calon Menteri Besar di Negeri Sembilan dari Umno.

“Manakala PKR menjadi Menteri Besar di Selangor dan DAP Ketua Menteri di Pulau Pinang.

“Peringkat awal ini ia telah dipersetujui antara semua pemimpin parti, namun kini sedang diperhalusi,” katanya kepada Malaysiapost.

Pada 12 April lalu, media melaporkan rundingan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang bakal menghadapi PRN masih terbuka meskipun PH dan BN bersetuju penyandang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kekal bertanding di kerusi masing-masing.

Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata perkara seperti itu biasa berlaku dalam mana-mana proses pembahagian kerusi setiap kali menjelang pilihan raya.

“Secara umumnya kerusi yang dimenangi parti yang bertanding pada PRU14 biasanya tidak disentuh, namun begitu ia terbuka kepada perbincangan.

“Ia tidak dapat dielakkan kalau mereka mahu bincang tentang pembahagian kerusi, ia perkara biasa dalam mana-mana proses rundingan kerusi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata soal agihan kerusi BN-PH masih dalam rundingan.

“Buat masa ini masih dalam perundingan awal, belum lagi ada kata putus,” katanya.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights