Dewan Muslimat Pas Kedah sokong lawan federalisme terpilih
KERAJAAN persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa melaksanakan federalisme terpilih dan gagal bersikap profesional dalam hubungan antara kerajaan pusat dan negeri.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah (DMPNK) Datuk Siti Ashah Ghazali, berkata kerajaan persekutuan sepatutnya fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat, bukannya tidak henti-henti bermain politik.
Beliau bagaimanapun memuji Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang cemerlang menjadi Menteri Besar Kedah dan tidak tunduk kepada pencabulan semangat federalisme itu.
“DMPNK senada dengan kenyataan Pesuruhjaya Pas Negeri Kedah Datuk Ahmad Yahaya bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini melaksanakan federalisme terpilih dan gagal bersikap profesional dalam hubungan antara kerajaan pusat dan negeri.
“Menteri Besar Kedah mempunyai asas yang jelas untuk bertegas mempertahankan hak-hak negeri termasuk projek yang bakal memajukan negeri seterusnya membuka ruang pekerjaan kepada anak-anak Kedah.
“Malangnya hak negeri ini diremehkan dengan alasan-alasan yang tidak masuk akal. Malah bukan lagi satu rahsia bahawa satu demi satu majlis melibatkan kerajaan cuba menidakkan kehadiran Menteri Besar Kedah,” katanya dalam satu kenyataan.
Siti Ashah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merbau Pulas berkata, DMPNK yakin dan percaya bahawa rakyat hari ini semakin bijak untuk menilai dan kebijaksanaan itu terserlah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.
“DMPNK terus menyokong teguh pentadbiran Menteri Besar Kedah dan yakin rakyat pasti tidak akan membiarkan negara ini diatur secara semberono dengan amalan menyimpang dari prinsip tata kelola yang dilaung saban dekad,” katanya. – Malaysiapost