Jaga lisan, tangan berdepan isu viral di hujung Ramadan

Asma’ Harun

DENGAN isu viral yang berlaku lagi-lagi di penghujung bulan mulia ini tahanlah diri, usaha hijrah menjaga lidah dan tangan, ia anggota yang bakal dihisab di sana.

Jangan disebabkan kecewa, sedih, marah dan lain-lain akhirnya pahala berpuasa bertukar kepada dosa yang kita akan sesali selamanya.

Ia nasihat buat diri dan semua, bukan apa, bimbang saat kita keluar daripada bulan Ramadan ini kita tergolong dalam kalangan orang yang rugi dan akhirnya tidak dimasukkan ke dalam syurga.

Malahan, jauh daripada Rahmat Allah SWT, lebih disesali apabila tidak peroleh pengampunan dari segala dosa. Allahu Akbar.

Seperti yang disebut di dalam hadis Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم صَعِدَ المِنْبَرَ فَقَالَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ قِيْلَ يَا رَسُوْلَ اللهِ إنَّكَ صَعِدْتَ المِنْبَرَ فَقُلْتَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ فَقَالَ إنَّ جِبْرِيْلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ أَتَانِيْ فَقَالَ مَنْ أَدْرَكَ شَهْرَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ

Maksudnya: “Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin , Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amim,amin”.

Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”.
(HR Ibnu Hibban, hadis sahih)

Kerana itu, dengan Ramadan yang masih berbaki ini, bersungguhlah dalam memohon pengampunan dan rahmatNya dengan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda Saidina Abu Bakar As-siddiq.

Daripada Saidina Abu Bakar As-siddiq, Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِّمْنِي دُعَاءً أَدْعُو بِهِ فِي صَلَاتِي

Maksudnya: “Saidina Abu Bakar bertanya kepada Rasulullah SAW, ajarlah aku doa yang aku boleh baca di dalam solatku, lalu Baginda menjawab, ucapkanlah doa ini..”

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, dan tidak ada yang boleh mengampuni dosaku melainkan Engkau, maka ampunilah aku, sesungguhnya Engkaulah yang Maha pengampun lagi Maha Penyayang.”
(HR Bukhari, hadis sahih)

Sahabat semua, mari kita benar-benar memanfaatkan bulan Ramadan yang masih berbaki ini dengan bermunajat, memohon keampunan, berdoa dan bertaubat sebanyak-banyaknya kepada Allah SWT.

Kita tidak tahu, mungkin Ramadan kali ini adalah yang terakhir buat diri kita, maka jangan berhenti berusaha menjadikan diri kita adalah diri yang baru, lebih tenang dan istiqomah mempertingkatkan lagi amal soleh untuk bekal di sana. – Malaysiapost

(Sumber: FB Ustazah Asma’ Harun)

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights