GERHANA matahari separa selama satu jam 42 minit dijangka berlaku di Selangor pada Khamis ini.
Menurut kenyataan Jabatan Mufti Selangor, fenomena itu dijangka berlaku bermula jam 11.05 pagi dan dan berakhir 12.47 tengah hari.
“Adalah dimaklumkan bahawa fenomena gerhana matahari separa dijangka akan berlaku di negeri Selangor pada 20 April 2023 bersamaan 29 Ramadhan 1444H (Khamis).
“Fenomena ini dijangka berlaku bermula jam 11.05 pagi dan berakhir jam 12.47 tengahari (tempoh masa selama 1 jam 42 minit). Kemuncak gerhana dijangka berlaku jam 11.55 pagi,” kata kenyataan itu, hari ini.
Gerhana matahari berlaku apabila kedudukan bulan terletak di antara bumi dan matahari.
Dalam keadaan ini, bulan akan berada di antara bumi dan matahari dalam kedudukan segarisan yang mana bulan akan menutupi cahaya matahari sama ada sebahagian atau sepenuhnya.
“Untuk gerhana matahari pada kali ini, bulan akan menutup 8.4 peratus daripada keluasan saiz jasad matahari.
“Sehubungan itu, masyarakat Islam digalakkan mengambil peluang ini dengan melakukan Solat Sunat Gerhana sama ada secara bersendirian atau secara berjemaah,” katanya. – Malaysiapost