Jangkaan lebih 3 juta kenderaan di LPT, 2 juta di PLUS

JANGKAAN lebih 3 juta kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), manakala 2 juta kenderaan sehari di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada hari-hari puncak musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang ini.

Bagi menangani isu kesesakan lebuh raya pada musim perayaan, pengendali-pengendali lebuh raya berkenaan iaitu ANIH Berhad dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bertindak mengeluarkan Cadangan Jadual Perjalanan (TTA).

Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) dan LPT Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad, menerbitkan TTA bermula dari 19 April sehingga 1 Mei memandangkan cuti Aidilfitri kali ini bersambung dengan cuti persekolahan dan cuti umum Hari Buruh.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata jumlah trafik ke Pantai Timur dijangka akan mengalami peningkatan bermula dari 19 April 2023 hingga 21 April 2023, manakala kesesakan trafik menghala ke Kuala Lumpur pula dijangka bermula dari 24 April dan 30 April sehingga 1 Mei 2023.

“Pihak kami berharap agar pengguna lebuh raya merancang perjalanan di musim perayaan dan percutian ini, memandangkan jangkaan aliran trafik meningkat semasa musim perayaan kepada lebih 3 juta kenderaan di KLK dan LPT1 .

“Kami akan membuat edaran TTA di Plaza Tol Gombak, Karak dan Bentong bermula 16 April ini selain membuat hantaran di laman sosial ANIH Berhad sebagai rujukan pengguna lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, ANIH Berhad juga menambah sehingga 30 peratus bilangan kakitangan sokongannya di plaza tol, serta menempatkan lebih 140 anggota RELA di beberapa kawasan strategik, disamping meningkatkan jumlah pekerja pasukan rondaan LPT dan trafik sebanyak 20 peratus.

“Bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini, para pengguna disarankan untuk mengikuti saluran rasmi media sosial ANIH Berhad. Jika berlaku kecemasan, sila hubungi LPT – Line di 1-700-818-700 atau LLM di 1800-88- 7752,” katanya.

Sementara itu PLUS turut mengeluarkan jadual CTTA untuk perjalanan balik kampung dan kembali ke Lembah Klang sempena cuti perayaan Aidilfitri bagi tempoh 19 April hingga 1 Mei 2023.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, menyarankan bagi pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kuala Kangsar-Bukit Merah) dan Johor, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum jam 9 pagi.

“Sementara itu, bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat seperti Perak (Tanjung Malim-Ipoh), Negeri Sembilan dan Melaka dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya di antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang.

“Saranan ini berikutan jangkaan sebanyak 2 juta kenderaan sehari bakal menggunakan Lebuhraya PLUS pada hari-hari puncak musim perayaan yang akan datang. Oleh itu, sila jangkakan kesesakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang pada 19 April hingga 1 Mei, pengguna daripada Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.

“Di samping jadual TTA, pengguna lebuh raya juga disaran untuk menggunakan aplikasi PLUS, Waze atau Google Map untuk mendapatkan pelan perjalanan yang lebih baik dan maklumat trafik terkini di lebuh raya.

“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara,” katanya.

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights