Keputusan “flip-flop” projek 5G dari kerajaan ketiga?

Keputusan “flip-flop” projek 5G dari kerajaan ketiga?

Haris Aqasah

SUMBER dalaman dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah mengesahkan bahawa wujud pertimbangan kerajaan untuk melibatkan syarikat teknologi lain dalam pelancaran 5G Nasional.

Dalam laporan sama yang diterbitkan Channel News Asia (CNA), Huawei dan ZTE juga telah mempergiat aktiviti melobi bagi projek 5G dalam tempoh sebulan lepas.

Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah bertegas bahawa Digital Nasional Berhad (DNB) akan teruskan projek 5G, juga kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital – Ahmad Fahmi Fadzil yang lantang menolak sebarang pelobian media demi menjunjung “the sanctity, of contract”, keputusan ini adalah satu kontradiksi kepada pendirian kabinet.

Adakah kepulangan Malaysia dari lawatan rasmi ke China baru-baru ini mengubah rentak permainan kerajaan? Atau pulangan pelaburan ekonomi sehingga RM 170 bilion dalam bentuk pelaburan China dalam masa terdekat ini tidak percuma?

Sekalipun persahabatan Anwar dengan China perlu dimaharkan, kerajaan perlu jelas bahawa keselamatan siber negara bukanlah satu kompromi.

Pembukaan ruang kepada syarikat telekomunikasi China ini jelas menidakkan bukti dan pelarasan undang-undang di negara barat yang mengesahkan pelanggaran kontrak, serta salahlaku Huawei dan ZTE yang dimatlamatkan kepada tujuan risikan untuk kegunaan Beijing dalam pengumpulan kepintaran China.

Apakah risikan ketenteraan yang dikhuatiri banyak negara sekadar menjadi token persahabatan antara Malaysia dengan China?

Sudah pastilah pertimbangan Malaysia terhadap kemiringan kita kepada China akan dipandang serong Five Eyes.

Kanada, Amerika Syarikat, New Zealand, Australia, dan United Kingdom bukanlah kuasa kecil yang harus diambil ringan. Larangan Huawei dari terlibat dengan projek 5G di setiap negara tersebut juga disandarkan dengan track record yang sah dari aktiviti pencurian maklumat dan risiko pencerobohan data yang melibatkan syarikat teknologi dari China.

Tidak mungkin Malaysia akan terus dilihat berkecuali atau tidak berpihak setelah projek 5G yang dilaksana Ericsson bersama DNB sudah mencapai 95 peratus di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang kini dirombak tanpa alasan.

Atau benarkah kita terlalu bersedia untuk berhadapan dengan embargo pelaburan teknologi dari negara barat?

Kejayaan Huawei untuk menerobosi pasaran Malaysia juga akan menjulangkan lagi percaturan kapitalis telekomunikasi Malaysia. Sekian lama Maxis berhubungan dengan Huawei, pemecahan pegangan kerajaan kepada peluncuran internet generasi baharu ini adalah langkah mengulang sejarah.

Matlamat ke arah menyediakan akses internet pada harga murah sekali lagi akan dilanggar pemain industri. Seperti kelembapan 4G mencapai akses menyeluruh di Malaysia, 5G sekali lagi akan ditunggang kehendak industri sehingga menekan pengguna sesuai dengan kehendak syarikat telekomunikasi.

Jangan bermimpi lagi untuk merakyatkan internet kepada masyarakat luar bandar jika keuntungan yang kita dahulukan.

Ahli politik dan pembuat dasar perlu lebih berhati-hati dengan segala keputusan berkaitan kepentingan negara. Tidak ada dilema dalam sebarang tindakan berkait soal keselamatan negara. Kita sudah berada di landasan yang sangat jelas.

Jika benar alasan penjimatan dan kos lebih rendah adalah jawapan, sudah pasti Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah membuat keputusan seawal pentadbiran beliau, tanpa perlu berlengah sehingga setengah tahun.

Setelah dua kerajaan sebelum ini mempertimbang keputusan melalui siri perbincangan dengan pelbagai pemegang taruh, kini giliran Perdana Menteri ke-10 untuk mempersembahkan keputusan “flip-flop” yang sama sekali tidak akan menguntungkan negara, biar apa pun alasan kewangan yang cuba dipentaskan.

Mungkin juga pemain industri telah berjaya memburukkan pentadbiran lalu dan melobi Perdana Menteri baharu supaya bertindak secara luar biasa, walaupun rakyat sudah dilakonkan di dalam skrip lama.
.
Penulis ialah pelajar tahun akhir di sebuah universiti tempatan bergiat aktif dengan beberapa NGO

[ Artikel ini disiarkan tanpa suntingan, ia merupakan pandangan penulis dan tidak melambangkan pendirian Malaysiapost ]

Komen