Krisis Sudan: Masjid selian JAKIM, JAWI adakan solat hajat dan doa selamat
JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) meminta masjid-masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melaksanakan solat hajat dan doa selamat pada hari ini susulan ketegangan yang berlaku di Sudan.
Menterinya Datuk Mohd Na’im Mokhta, berkata perkara itu susulan seruan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Masjid-masjid di bawah seliaan JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin diminta untuk melaksanakan solat hajat dan doa selamat pada hari ini, 17 April 2023.
“Masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah diminta untuk melaksanakan Solat Hajat dan Doa Selamat pada tarikh yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menyeru umat Islam di Malaysia bersama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada saudara-saudara Islam di negara Sudan.

Terdahulu, Agong menyeru seluruh rakyat untuk bersama Baginda mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di Sudan berikutan krisis yang berlaku di negara berkenaan.
Baginda turut menyeru seluruh masjid mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah SWT agar rakyat Malaysia berada di bawah lindungan-Nya dan ketegangan di Sudan dapat dihentikan dengan segera.
Al Sultan Abdullah juga menyarankan agar kerajaan Malaysia bersedia untuk membawa mereka pulang ke tanah air secepat mungkin sekiranya keadaan bertambah tegang.
Seramai 29 rakyat Malaysia dikenal pasti berada di Sudan ketika ini membabitkan 11 pelajar dan masing-masing seorang pekerja Petronas, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Susulan itu, Wisma Putra telah melancarkan bilik operasi 24 jam bagi memantau keadaan semasa pergolakan yang berlaku di Sudan. – Malaysiapost