Muhammad Sanusi kekal MB jika PN menang di Kedah

PAS Kedah akan terus mempertahan kepimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar dalam menerajui pentadbiran negeri Kedah.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya, turut menegaskan Muhammad Sanusi akan kekal menjadi ‘poster boy’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak dan kekal meneraju negeri jika memenangi pilihan raya.

“Pas Kedah ingin menegaskan bahawa YAB Sanusi kekal menjadi ‘poster boy’ dalam PRN kelak dan beliau akan kekal meneraju pentadbiran negeri Kedah jika terus diangkat dalam pilihan raya.

“Insya-Allah, sokongan berterusan daripada rakyat negeri Kedah akan menjadi pemangkin kepada kejayaan Perikatan Nasional (PN) di Kedah khususnya.

“Dan tidak mustahil misi ini akan turut memberikan impak langsung kepada negeri lain yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) seperti Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, berkata ketegasan Muhammad Sanusi menegakkan kebenaran dilihat menjadi asbab tekanan politik yang berterusan diarahkan kepada beliau ketika ini.

Katanya, perkara itu berlaku kerana PH kini tidak mempunyai modal untuk menjatuhkan pengaruh PN yang mendapat dokongan kuat masyarakat Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

“Oleh itu, langkah ‘character assassination’ (pembunuhan karakter) terhadap YAB Sanusi dilaksanakan kerana beliau juga menjadi faktor penting kemenangan PN khususnya di negeri Kedah.

“PAS Kedah yakin segala perjalanan pentadbiran dan pelaksanaan dasar negeri berada dalam landasan terbaik seiring dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035.

“Malah hasrat ‘The Greater Kedah’ yang digagaskan beliau tidak mustahil akan direalisasikan kelak,” katanya.

Ahmad menegaskan, tekanan politik terhadap kerajaan negeri Kedah juga menunjukkan kerajaan persekutuan membelakangi semangat madani dalam erti kata sebenar.

“Ia juga mewajahkan sikap federalisme tempang yang mengundurkan negara ke era politik lapuk.

“Bukankah berulang kali kita mengingatkan kerajaan persekutuan supaya mengekalkan profesionalisme dalam hubungan federalisme di antara Persekutuan-Negeri?

“Malangnya, kerajaan persekutuan melaksanakan federalisme terpilih kerana dendam politik serta pembunuhan karakter Sanusi,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights