ISU berkenaan harga tiket kapal terbang yang sangat mahal untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke bandar-bandar di Sabah, seperti Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan juga Labuan bukanlah isu baru.
Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sudah bertahun perkara dan situasi itu berlaku, khususnya apabila tiba saja musim perayaan.
Beliau yang juga Presiden Parti Warisan (Warisan) berkata, pihaknya sedar dan tahu, kos operasi dan pengendalian kapal terbang tidak murah, dengan kos bahan api yang sentiasa meningkat serta ketidaktentuan pasaran ekonomi dunia.
“Walaubagaimanapun, sudah pasti apa yang rakyat dan juga pengguna perlukan adalah budi bicara serta campur tangan pihak kerajaan dan penguasa berkaitan, dengan harapan harga tiket penerbangan ketika musim perayaan ini lebih munasabah.
“Dalam masa yang sama, harga tiket kapal terbang untuk penerbangan domestik di Sabah pula meningkat berkali ganda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, orang Sabah hanya ada dua pilihan, guna perkhidmatan udara ataupun jalan raya, namun umum mengetahui bagaimana keadaan jalan raya di Sabah pada ketika ini.
Mohd Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, jalan raya di Sabah banyak mengalami kerosakan, malah ada juga di sesetengah kawasan itu keadaan jalan raya yang berbahaya untuk dilalui.
“Keadaan ini secara tidak langsung akan menambah lagi masa perjalanan yang diambil, dari lapan jam untuk perjalanan biasa kepada 10 ataupun 12 jam untuk sampai ke destinasi.
“Seterusnya, saya juga mahu pihak kementerian dan juga agensi serta pengendali perkhidmatan udara mempertimbangkan untuk menambah kekerapan jumlah penerbangan di antara bandar di dalam negeri Sabah khususnya.
“Sebagai contoh, jika pada waktu ini hanya ada dua kali penerbangan dari Kota Kinabalu ke Tawau, mungkin ia dapat ditambah kepada tiga atau empat kali atau mungkin lebih lagi,” katanya.
Beliau berkata, jika langkah penambahan penerbangan domestik itu dapat dilaksanakan, ia akan mengurangkan keadaan di mana pengguna terlepas masa transit antara bandar yang agak terbatas.
“Akhir sekali, saya berharap agar pihak kementerian dan juga penguasa berkaitan mengambil serius akan perkara ini supaya kos yang lebih adil untuk ditanggung oleh pengguna dari Sabah dan juga Sarawak apabila menggunakan pengangkutan udara.
“Lebih-lebih lagi ia adalah satu-satunya pengangkutan yang ada untuk digunakan pada masa ini,” katanya. – Malaysiapost