Siasat aplikasi syarikat penerbangan papar maklumat tidak tepat harga tiket

KEMENTERIAN Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) digesa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap syarikat penerbangan yang memaparkan maklumat tidak tepat pada aplikasi tempahan tambang penerbangan mereka.

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, gesaan itu dibuat sebagai maklumbalas kepada kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung pendedahannya mengenai tiket penerbangan kelas ekonomi dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 20 April lalu melonjak sehingga RM3,138.

Malah, beliau hairan bagaimana di laman sesawang Malaysian Airlines (MAG) menunjukkan hanya tiket Kelas Perniagaan yang tersedia serta menerusi super app lain adalah sebaliknya.

“Bagaimana mungkin ‘super app’ lain menunjukkan masih terdapat tiket tambang Kelas Ekonomi dari KUL-TWU dengan harga RM3,138?

“Apa yang sebenarnya berlaku? Ada Super App ‘haram’ yang memaparkan maklumat palsu? Siapa ‘prebook’ tiket tambang ekonomi dan siapa pula mengaut keuntungan? Saya serahkan kepada MOT untuk mencari jawapan,” katanya menerusi Facbook.

Dalam pada itu, Ka Siong mempertahankan kenyataannya kelmarin bahawa harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur-Tawau mencecah harga tinggi iaitu RM3,138.

“Ini tiga semakan berasingan menggunakan ‘super app’ yang sama pada jam 3.30 petang (semalam) 16 April 2023.

“Jelas dipaparkan harga tiket kelas ekonomi Kuala Lumpur-Tawau adalah RM3,138. Jadi, masih seorang insan bernama Wee Ka Siong dipersalahkan?,” katanya.

Ka Siong berkata, sekiranya Loke mendakwanya tidak memeriksa sebelum membuat hantaran itu, beliau tetap menunjukkan bukti mempertahankan pendedahannya, termasuk tangkap layar hara yang dipaparkan pada aplikasi berkenaan.

Jelasnya lagi, manakala semalam, pada jam 3.30 petang kadar harga dipaparkan dalam super app yang diakses tiga individu berlainan menunjukkan harga sama, iaitu RM3,138.

Justeru, Ka Siong yang juga Presiden MCA, menuntut Loke menarik balik tuduhan liar itu.

“Isu pokoknya ialah bagaimana Kerajaan dapat menawarkan harga tambang yang berpatutan kepada rakyat, bukan membidas saya secara semberono,” katanya.

Terdahulu, Loke menafikan dakwaan Ka Siong kononnya harga tiket kelas ekonomi untuk penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 20 April ini, mencecah RM3,138.

Loke berkata, beliau sendiri menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAB), Kapten Izham Ismail, yang mengesahkan semua tiket Kelas Ekonomi untuk penerbangan pada tarikh berkenaan, sudah habis dijual, sebaliknya tiket yang sedang dijual, membabitkan Kelas Perniagaan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights