Tiada pemain Selangor dibayar RM132,000 sebulan

SELANGOR FC menegaskan kandungan yang disebarkan di media sosial mengandungi dakwaan mengenai gaji seseorang pemain di dalam kelab itu adalah palsu.

Menerusi kenyataan hari ini, pengurusan Selangor FC menegaskan kandungan ‘posting’ tersebut adalah palsu, tidak tepat dan dianggap fitnah.

Sehubungan itu katanya, ia menafikan sekeras-kerasnya menggaji mana-mana individu dengan skala gaji yang didakwa di dalam siaran media sosial tersebut.

“Kelab mengutuk sekeras-kerasnya penyebaran maklumat palsu yang boleh merosakkan imej kelab yang bertujuan untuk menimbulkan keresahan dan menggugat kestabilan kelab, lebih-lebih lagi sambil bersembunyi di sebalik tabir tanpa nama.

“Pihak kelab akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya, termasuk laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan pihak berkuasa lain yang berkaitan,” katanya.

Kenyataan itu menambah, Selangor FC juga memberi jaminan kepada penyokong bahawa kelab tersebut berada atas landasan baik dalam pelbagai aspek dan akan kekal komited terhadap nilai berteraskan integriti, ketelusan dan keadilan dalam membina sebuah kelab bola sepak yang kukuh dan berjaya, di atas mahupun di luar padang.

“Kelab tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara ini sementara menunggu prosiding undang-undang,” katanya.

Terdahulu satu hantaran menerusi laman Facebook Harimau Selatan X mendakwa skuad Merah Kuning menawarkan gaji sehingga RM132,000 untuk pemain import.

Hantaran itu memaparkan kandungan kontrak secara lanjut yang bakal diterima pemain pasukan itu yang ditawarkan bagi musim 2023. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights