SEORANG wanita yang menanggalkan baju kurung dan tudungnya ketika persembahan komediri tahun lalu, didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam, hari ini.
Siti Nuramira Abdullah, 27, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan, semasa perbicaraan kes di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.
Mahkamah memerintahkan wanita itu dipenjara empat bulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan pilihan, dia didakwa dengan sengaja melukakan perasaan agama lain dengan menyebut bahawa dia seorang Muslim, telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudiannya membuka tudung dan menanggalkan baju kurung.
Kesalahan dilakukan sewaktu persembahan di atas pentas, di Restoran Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada jam 6 petang, 4 Jun 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob sementara tertuduh diwakili peguam, R Sivaraj.
Semasa prosiding, Abdul Malik berkata, Siti Nuramira telah memfailkan representasi berhubung kes ini pada 16 Mac lalu dan ia telah diterima oleh Jabatan Peguam Negara (AGC). – Malaysiapost