‘Yang penting jangan curang selepas kahwin’

“Zaman datuk nenek kita dulu ramai yang kahwin tanpa kenal bakal pasangan, tetapi perkahwinan kekal sehingga akhir hayat.”

Perkara itu dinyatakan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, dipercayai bagi menyanggah kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa ‘perkahwinan paksa’ antara PH dan BN tidak akan berjaya jika tiada rasa cinta’.

Mengulas mengenainya, Dr Akmal berkata, pada masa kini ramai yang bercinta sakan, tetapi akhirnya usia perkahwinan tidak sampai setahun.

“Yang paling penting dalam perkahwinan ini adalah saling memahami dan hormat antara satu sama lain.

“Bukannya bila dah kahwin curang mencari pasangan lain dan saling memburukkan sesama sendiri.

“Mengekalkan perkahwinan adalah lebih dituntut daripada menghancurkan perkahwinan. Saja kongsi tips perkahwinan,” tulis Exco Kerajaan Melaka itu di Facebook.

Beliau turut berkongsi tangkap layar laporan media berhubung kenyataan Ismail Sabri.

Semalam Ismail Sabri berkata ‘perkahwinan paksa’ antara PH dan BN tidak akan berjaya jika tiada rasa cinta antara kepimpinan tertinggi parti atau di peringkat akar umbi.

Bekas Naib Presiden Umno itu berkata, keretakan kini mula dilihat dalam “perkahwinan paksa” antara parti dalam kerajaan kerana mereka secara terbuka menyerang satu sama lain. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights