20 juta kampit simen Rahmah diperkenal, bantu kurangkan beban kos harga rumah

KEMENTERIAN Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan Inisiatif Skim Simen Rahmah untuk kemajuan rumah mampu milik dengan kerjasama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) dan pemaju perumahan swasta.

Inisiatif itu melibatkan harga dalam kategori rumah mampu milik iaitu berharga RM300,000 dan ke bawah untuk kumpulan sasaran B40 dan M40.

Menerusi insiatif itu, Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata C&CA telah menawarkan 1 juta tan metrik simen pukal (bulk cement) dengan harga
RM290 setiap tan metrik berbanding harga pasaran semasa RM410.00 setiap tan metrik.

Penurunan itu katanya, adalah sebanyak RM120 setiap tan metrik bersamaan insentif sebanyak 29.3 peratus daripada pembekal simen.

“Nilai 1 juta tan metrik simen ini akan ditukarkan kepada 20 juta kampit simen standard dengan berat 50 kilogram.

“Pada masa ini, nilai harga kampit simen di pasaran adalah RM22.50 sekampit dan akan diturunkan kepada RM17.50 sekampit iaitu penurunan sebanyak 22.2% sekampit atau bersamaan RM5.00 sekampit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kor Ming berkata, sejuta tan metrik tersebut bersamaan dengan 20 juta kampit simen yang akan dibekalkan kepada pemaju perumahan swasta mampu milik secara berperingkat pada harga yang telah diberikan insentif oleh pengeluar dan pembekal simen selama maksimum empat tahun mengikut tempoh pembinaan pemajuan tersebut iaitu sehingga 30 Jun 2028.

“Ini merujuk kepada pemajuan yang akan diluluskan Permit Iklan dan Jualan (AP) di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] bermula daripada 1 Mei 2023 sehingga 30 Jun 2024 (tempoh 13 bulan).

“Rakyat akan memperoleh manfaat pengurangan harga rumah maksimum sehingga RM5,000 mengikut jenis dan harga rumah. Contohnya untuk harga rumah asal bernilai RM300,000 dan pengurangan sebanyak RM5,000 (2.38%) menjadikan harga jualan baharu sebanyak RM295,000.

“Inisiatif ini sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dalam komitmen pembiayaan perumahan,” katanya.

Tambahnya, 20 juta kampit simen dijangka mencukupi untuk pembinaan rumah mampu milik sehingga 24,000 unit dan bakal memanfaatkan pembeli.

Beliau berkata, mengambil kira pengurangan kos harga simen tersebut berbanding harga pasaran, sebanyak RM120 juta insentif oleh
pengeluar dan pembekal simen kepada pembeli rumah melalui pemaju perumahan swasta.

“KPKT mengucapkan terima kasih kepada C&CA dan pemaju perumahan swasta atas kerjasama strategik ini dan berharap kolaborasi seperti ini diteruskan untuk masa akan datang dan menyeru rakan agensi swasta yang lain untuk turut sama menawarkan inisiatif bagi meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights