LEBIH 500 anggota polis ditempatkan di Gua Musang menerusi Op Selamat bermula Khamis ini bagi melancarkan kesesakan trafik yang dijangka berlaku di jajahan itu sempena Aidilfitri, tahun ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata jumlah itu termasuk 254 anggota trafik yang akan mengawal lalu lintas sepanjang lapan hari operasi dijalankan.
“Tahun ini, kita akan memberi lebih tumpuan kepada aliran trafik di Gua Musang berikutan laluan utama ditutup sementara untuk kerja pembaikan jalan.
“Kita jangkakan aliran trafik mungkin lebih sesak kerana perantau akan mengambil peluang pulang beraya selepas beberapa tahun berdepan kekangan akibat Covid-19,” katanya.
Sebelum ini, ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menjangkakan aliran trafik akan meningkat lebih tiga juta kenderaan di kedua-dua lebuh raya itu berikutan cuti Aidilfitri, minggu ini.
ANIH berkata, pihaknya menjangkakan jumlah trafik ke Pantai Timur akan mengalami peningkatan bermula 19 April hingga 21 April.
Manakala kesesakan lalu lintas menghala ke Kuala Lumpur dijangka bermula 24 April dan 30 April sehingga 1 Mei nanti. – Malaysiapost