Anwar beri jaminan kerjasama erat dengan Kerajaan Pahang

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan negeri Pahang akan terus diperkukuh demi kelangsungan serta kesejahteraan rakyat negeri itu.

Bagi membuktikan kesungguhan itu, beliau memaklumkan lebih RM400 juta daripada RM5 bilion peruntukan tahunan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) diperuntukkan kepada Pahang.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan perkara itu ketika menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri Pahang di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan, hari ini.

Menurutnya, peruntukan itu adalah bagi memastikan jalan negeri berada dalam keadaan baik.

“Sebahagian daripada peruntukan keseluruhan penyelenggaraan berkala turapan jalan persekutuan yang meningkat kepada RM1 bilion berbanding RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023, juga akan dikhususkan untuk negeri Pahang.

“Tambahan peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan itu dapat dilakukan kerana hasil negara melonjak selepas ‘orang besar’ mula membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya dalam hantaran di Facebook, malam ini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan barisan Exco Kerajaan negeri Pahang.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi kelonggaran kepada kerajaan Pahang bagi menggunakan peruntukan MARRIS untuk membaik pulih kemudahan awam yang rosak akibat banjir seperti membeli jambatan bailey.

“Ini mengambil kira Pahang antara negeri yang sentiasa dilanda bencana alam itu setiap tahun, yang akan menyebabkan pelbagai kerosakan pada struktur awam,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights