Bakti disanjung, budi dijunjung

SELEPAS 35 tahun berkhidmat untuk negara, ‘wira perang’ Covid-19, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kini mengundurkan diri apabila bersara wajib di usia 60 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan itu diraikan dalam majlis persaraan ‘Bakti Disanjung, Budi Dijunjung’ oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Dr Noor Hisham turut berkongsikan mengenai majlis persaraannya itu dilaman Facebooknya.

“Sarat muatan barang dagangan,
Bahtera kunjung ke hujung Tanjung;
Mesra hubungan manis kenangan,
Bakti disanjung budi dijunjung.

“Kapal layar kemudi cermat,
Bijak nakhoda melawan gelora;
35 tahun setia berkhidmat;
Tiba detiknya waktu bersara.

“Langit dan mega luas terbentang,
Kadangnya cerah yang gelap menanti;
Teruskan berjasa pimpinan mendatang,
Yang patah tumbuh yang hilang berganti,” tulisnya.

Majlis persaraan itu turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dan barisan kepimpinan serta warga KKM.

Khidmat bakti Dr Noor Hisham kepada bidang kesihatan negara selama 35 tahun akan berakhir apabila beliau bersara wajib pada 21 April ini.

Beliau dianggap ‘wira perang’ Covid-19 kerana usahanya dalam menghadapi pandemik berkenaan yang melanda dunia dan negara. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights