‘Kalau saya jadi MB Kedah, ada orang yang masuk wad gila’ – Mahfuz
PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar mengesahkan beliau bukanlah calon Menteri Besar sekiranya gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Malah, Mahfuz secara berseloroh berkata, ada seseorang akan ‘dimasukkan’ ke hospital sakit jiwa sekiranya beliau ditabalkan sebagai Menteri Besar Kedah kelak, lapor Sinar Harian.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah itu berkata, pemilihan calon bagi jawatan nombor satu di negeri itu bagi PH masih belum dibincangkan lagi.
Menurut Mahfuz, perkara itu hanya akan diputuskan selepas urusan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN selesai dilaksanakan sekitar pertengahan bulan depan.
“Kita akan bincang selepas ini untuk menentukan siapa calon Menteri Besar Kedah, yang pasti bukan saya, sebab kalau saya jadi Menteri Besar Kedah, sah (akan) ada orang ‘masuk wad gila’.
“Tidak bincang lagi (soal siapa Menteri Besar), (selepas) settlekan (selesaikan) pembahagian (kerusi di Kedah), selepas itu InsyaAllah kita akan tentukan,” katanya.
Sementara itu Mahfuz mendakwa, pemilihan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai ‘poster boy’ Menteri Besar Kedah Perikatan Nasional (PN) dalam PRN, membuktikan parti itu ketandusan pemimpin profesional dan berwibawa.
“PN menamakan Sanusi (sebagai ‘poster boy’) adalah kerana mereka sendiri tiada calon lain, Mereka merasakan itu yang paling terbaik, sifat yang ‘loqlaq’ (dan) dia yang ‘rempang’ (itulah) yang paling baik,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Sanusi diumumkan akan dikekalkan sebagai Menteri Besar Kedah sekiranya gabungan PN menang di negeri itu dalam PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi. – Malaysiapost