POLIS menahan dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan penemuan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dipercayai didera dan dirogol.
Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superintendan Chong Boo Khim, berkata pada jam 11.50 pagi semalam, seorang lelaki tempatan ke Balai Polis di Daerah Manjung dengan membawa seorang kanak-kanak perempuan.
Menurutnya, kanak-kanak terbabit dijumpai oleh lelaki berkenaan di tepi jalan dalam keadaan tidak terurus dan kusut masai.
“Pihak polis telah menghantar mangsa ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan pihak perubatan, mangsa dipercayai telah dirogol dan didera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan itu pada hari sama kira-kira jam 9.30 malam, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung telah menahan dua lelaki dan seorang wanita.
“Ketiga-tiga suspek yang berusia 26 hingga 40 tahun itu ditahan di perkarangan balai polis kerana disyaki terlibat dalam kes ini.
“Semakan mendapati suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua direman sehingga 23 April ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Boo Khim berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak. – Malaysiapost