PIHAK Istana Negara menafikan mengeluar kenyataan media yang memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah murka terhadap Kerajaan Perpaduan berhubung isu membabitkan kebajikan rakyat dan perkhidmatan awam.
Istana Negara memaklumkan kenyataan media berkenaan adalah palsu dan orang ramai dinasihati supaya tidak menyebarkan atau berkongsi lanjut kenyataan itu.
“Adalah dimaklumkan bahawa Istana Negara tidak mengeluarkan kenyataan media seperti yang dipaparkan dan yang telah tular di media sosial, hari ini.
“Orang ramai dinasihati agar tidak menyebar atau berkongsi lanjut kenyataan palsu itu menerusi mana-mana platform media,” menurut kenyataan itu dalam hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara, malam ini.
Berdasarkan kenyataan media palsu itu, Tuanku dikatakan mengambil serius isu-isu yang melanda perkhidmatan awam negara terutama melibatkan integriti Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
Kenyataan palsu itu juga mengatakan Tuanku amat murka sikap sambil lewa yang diambil oleh Kerajaan Perpaduan dalam menangani isu melibatkan perkhidmatan awam yang menjejaskan imej dan kualiti perkhidmatan awam, serta memberi kesan kepada Tuanku.
Tuanku juga dikatakan menasihati Perdana Menteri supaya cakna dan mengambil berat isu-isu dan kes penyelewengan penjawat awam di peringkat tinggi bukan sahaja menumpukan kepada orang-orang politik sahaja. – Malaysiapost