Malaysia dicadangkan eksport ketum

BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mencadangkan agar ketum dibenarkan untuk eksport ke negara di mana bahan itu digunakan secara sah.

Menyifatkan cadangan dasar itu sebagai dahsyat, hebat dan luar biasa, Khairy berkata ia dibuat bagi mencetuskan perdebatan awam bagaimana ia dapat dijadikan satu dasar atau polisi yang realistik ataupun tidak.

“Saya baru-baru ini ada baca dalam berita empat hari lepas, “penjawat awam jual air ketum di sekitar Putrajaya”. Ia kita bercakap tentang ketum yang berasal dari Malaysia…pokok ‘pribumi’ ia asal di sini (Malaysia), tidak seperti pokok getah dan kelapa sawit yang dibawa dari negara lain.

“Tetapi seperti yang semua tahu, ketum adalah sesuatu yang dilarang dari segi undang-undang. Tetapi kalau kita pergi di utara kita akan jumpa pokok ketum. Jadi saya nak utarakan satu cadangan dari segi konsepnya,” katanya menerusi podcast ‘Keluar Sekejap’.

Khairy berkata, ada sesetengah negara yang membenarkan penjualan ketum sebagai contoh di Amerika Syarikat (AS) industri ketumnya kini adalah berbilion dolar dan bekalan ketum itu banyak dibeli di Indonesia.

“Thailand juga kini melihat peluang untuk mengeksportnya ke AS. Jadi cadangan saya ketum yang tidak boleh dijual atau digunakan di Malaysia kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatakan tiada bukti ia boleh digunakan sebagai perubatan sebaliknya terbukti mengkhayalkan, kita eksport ke negara lain.

“Kita adakan prosedur yang ketat. Sebagai contoh hanya ‘Lembaga Ketum’ sahaja yang boleh uruskan sehingga eksport kepada AS.

“Pekebun kecil ketum daripada ditangkap, mereka boleh menjual ketum dan menjana pendapatan setiap bulan. Ada yang kata kalau dapat jual ketum mungkin mereka akan berhenti menoreh getah,” katanya.

Beliau berpendapat, cadangan itu tiada masalah kerana negara lain sudah melakukannya iaitu Indonesia dan ketum berkenaan juga bukan untuk digunakan oleh rakyat Malaysia dan industri itu akan dikawal oleh prosedur yang ketat.

Tambahnya, soal asal ketum dari Malaysia adalah sangat penting kerana jika kerajaan ingin menghapuskannya ia pasti tidak akan berjaya.

“Kalau kita nak pergi ke negeri-negeri utara kita nak musnahkan semua pokok ketum..percayalah anda akan kalah pilihan raya di sana. Ini bukan soal politik sebab benda tu (ketum) dah ada..pokok mereka atas tanah mereka sendiri.

“Saya melihat dari segi negara lain dah terima penggunaannya. Ia sudah ada dan kenapa kita tidak eksport bagi meraih pendapatan untuk pekebun kecil. Ini idea tetapi bukan semua idea akan jadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan yang turut bersiaran bersama, menyuarakan hujah balas terhadap cadangan untuk mengeksport ketum itu.

“Hujah balasnya mungkin begini..sebagai sebuah negara bangsa kita kena konsisten dalam nilai-nilai kita. Kalau nilai kita setakat hari ini mengatakan penggunaan ketum adalah tidak mengikut undang-undang atau haram. Maka ia menjadi konflik dari segi nilai apabila tiba-tiba kita kata boleh eksport semata-mata untuk dapat keuntungan ekonomi.

“Tidakkah masyarakat seperti kita mesti meletakkan nilai lain selain keuntungan semata-mata dalam pembuatan dasar. Jadi jika nilai yang kita ada sekarang mengatakan penggunaan ketum adalah haram, jadi kita tidak sepatutnya membenarkan eksport kepada negara lain kerana ia bercanggah dengan nilai kita,” katanya.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights