PENGGUNA lebuh raya bermula esok hingga Jumaat dan pada 24 April ini sempena sambutan Aidilfitri akan menikmati tol percuma dinamakan Tol Rahmah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemberian tol percuma itu melibatkan 33 lebuh raya utama negara.
“Kerajaan bersetuju melaksanakan Tol Rahmah percuma iaitu pengecualian tol selama empat hari untuk dinikmati semua pengguna jalan raya.
“Ikhtiar ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Anwar berkata, butiran lanjut berhubung pelaksanaan Tol Rahmah percuma akan diumumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Sementara itu Perdana Menteri berkata, kerajaan turut bersetuju melaksanakan beberapa ikhtiar khas bagi meringankan beban serta memberi kegembiraan kepada rakyat termasuk pemberian kadar khas bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pemberian kadar khas ini selama sebulan bermula 21 April untuk semua saman trafik PDRM bagi kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya. Setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga RM50.
“Kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada tahun 2023,” katanya.
Dalam pada itu Anwar memaklumkan, dalam memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena Aidilfitri, PDRM akan melaksanakan Op Lancar bermula hari ini dan esok dengan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.
“Selanjutnya, Op Selamat 20 akan dilaksanakan bermula 20 April bagi tempoh tujuh hari dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’,” katanya. – Malaysiapost