PELAKON, Puteri Sarah Liyana, 38, berharap kemelut rumahtangga dengan suaminya, Syamsul Yusof, 39, akan dapat diselesaikan dengan baik serta secepat mungkin, hari ini.
Dia juga berharap persetujuan Syamsul untuk melafaz cerai terhadap dirinya di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur sebentar lagi, dapat mengakhiri ‘krisis’ berpanjangan antara mereka.
Pemilik nama penuh Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu berkata demikian ketika ditemui media sejurus tiba di perkarangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, sebentar tadi.
“Saya tidak sabar dan berharap kita dapat selesaikan kes (perceraian) ini, secara baik dan semoga dipermudahkan.
“Diharap Syamsul melafazkan cerai dan jika gagal, saya akan beritahu sebabnya kemudian,” katanya.
Ibu kepada sepasang cahaya mata ini juga berharap selepas selesai lafaz cerai oleh Syamsul hari ini, tidak ada perkara berbangkit berlaku.
“Saya hanya nak percepatkan semuanya dan (harap) tiada lagi gaduh-gaduh atau tidak puasa hati, saya nak selesaikan semua hari ini.
“Sebab bulan depan saya nak (berangkat) ke Jakarta sebab nak mula ‘shooting’ dekat sana. Jadi kalau boleh saya harap nak selesaikan cepat-cepat,” katanya.
Terdahulu, Puteri Sarah yang memakai busana serba putih tiba di perkarangan mahkamah jam 9.20 pagi ini, hadir dengan wajah ceria sempat menyapa media.
Menurut Puteri Sarah, dia memilih mengenakan busana putih sebagai simbolik mahu memulakan hidup baharu.
“Sudah tentu, ini baju baharu saya hari ini. Saya harap memang akan dilepaskan. Semoga selepas dilepaskan hari ini saya dapat memulakan baharu,” katanya.
Sementara itu, Syamsul yang tiba di mahkamah pada jam 9.50 pagi, tidak membuat sebarang kenyataan kepada media.
“Saya datang hanya mahu baca ikrar, kita tunggulah macam mana, selebihnya tiada komen,” katanya.
Pada 10 April lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur menetapkan prosiding kes lafaz cerai itu hari ini selepas pasangan tersebut telah mencapai persetujuan untuk membubarkan perkahwinan secara baik.
Prosiding itu adalah di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas.
Terma-terma penyelesaian antaranya menyentuh isu hadanah (hak penjagaan anak), nusyuz, mutaah, nafkah, idah dan harta sepencarian, hanya akan dimaklumkan kemudian.
Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie itu memfailkan permohonan cerai pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co.
Puteri Sarah diwakili peguam Syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul diwakili, Azmi Mohd Rais.
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Sumayyah, 4. – Malaysiapost