SEJUMLAH RM7.3 juta nilai rampasan keseluruhan direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hasil daripada 18 kes tangkapan melalui Op Pagar Laut yang dilaksanakan bermula 9 April lalu hingga semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), merangkap pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, daripada jumlah berkenaan sebanyak enam kes melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Katanya, ia terdiri 16 orang pelbagai warga negara, tiga kes penyeludupan kontraband rokok, tiga kes pencerobohan bot nelayan asing (BNA), satu kes penyeludupan barang kawalan minyak masak serta lima kes berkaitan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952).
Saiful Lizan menambah, kejayaan itu hasil rutin rondaan dan penguatkuasaan dilaksanakan 800 pegawai dan anggota penguat kuasa yang ditugaskan dalam operasi tersebut di samping 45 pelbagai aset milik agensi ini.
“Maritim Malaysia telah memperketatkan lagi kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutama di sempadan Malaysia dan Thailand serta Indonesia,” katanya selepas tinjaun udara sempena Op Pagar Laut di sekitar perairan Selangor hari ini.
Dalam pada itu beliau tidak menafikan selain maklumat perisikan dan radar SWASLA, Maritim Malaysia menerima maklumat awam yang telah menyumbang kepada kejayaan kes-kes tangkapan operasi tersebut.
“Justeru bagi mengekalkan momentum pencapaian operasi ini, orang ramai khususnya masyarakat maritim diminta terus menjadi mata dan telinga kepada pihak Maritim Malaysia agar aktiviti jenayah maritim dapat dibanteras habis-habisan,” katanya.
Maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim boleh disalur dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim (POMAR) di talian 03-89434001 serta mana-mana Pusat Operasi Maritim (PUSOP) berhampiran atau Malaysian Emergency Response Services (MERS) di talian 999.
Untuk rekod Op Pagar Laut dilaksanakan setiap tahun bermula 2016 melibatkan semua Maritim Negeri termasuk Zon Maritim.
Pada tahun ini Op Pagar Laut dilaksanakan bermula 9 April lalu dan akan berakhir 30 April ini. – Malaysiapost