PUTERI Sarah Liyana tetap dengan pendirian tidak menarik seluruh kes di Mahkamah Sivil Kuala Lumpur berhubung prosiding menghina mahkamah terhadap madunya, Ira Kazar, bapanya serta kakaknya.
Puteri Sarah berkata, dia tidak akan bersetuju terhadap permintaan suaminya, Syamsul Yusof berhubung diskaun ke atas nafkah anak-anaknya.
“Mulanya kami sudah capai kata persetujuan apabila bertemu tempoh hari, tetapi ada beberapa saya tidak bersetuju. Pertama Syamsul suruh saya tarik kes saman terhadap keluarga Kazar. Saya tidak akan tarik kes itu.
“Untuk apa saya berjuang selama ini? Jadi, syarat diberikan kalau mahu dilepaskan, saya kena tarik kes terhadap keluarga Kazar. Mengapa saya kena gugurkan? Kes saya dan Syamsul, itu antara saya dengannya, jadi kenapa nak campur adukkan?,” katanya memetik BH Online.
Puteri Sarah yang ditemui selepas perbincangan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan berkata, dia tidak akan gugurkan kes di Mahkamah Sivil kerana percaya ada hakam.
“Saya percaya saya di pihak yang benar. Syarat kedua, Syamsul minta diskaun tuntutan nafkah anak-anak dan mutaah. Saya tak mahu beritahu jumlah, nanti memalukan.
“Ini nafkah anak-anak pun nak minta diskaun. Selepas itu, suruh tarik kes terhadap keluarga Kazar, ini sudah melampau. Tuntutan saya tidak sampai RM1 juta pun,” katanya.
Puteri Sarah berkata, dia tidak kecewa apabila kemelut rumah tangga terus berpanjangan memandangkan perbincangan perceraian tidak berjaya.
“Tidakkah senang kalau 7 Mac hari itu ceraikan sahaja saya, jadi tiadalah masalah macam ini. Saya tak larat mahu memuaskan orang lain. Sekarang saya sedang memperjuangkan hak anak-anak. Saya akan lawan demi anak-anak.
“Sememangnya, saya mengharapkan Syamsul melepaskan saya hari ini, tetapi demi anak-anak, saya akan lawan. Jadi, saya tidak kecewa dengan prosiding hari ini,” katanya.
Berikutan tiada lafaz cerai daripada Syamsul, prosiding akan diteruskan dengan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas pada 25 Mei depan.
Dalam prosiding terdahulu, mahkamah sama menetapkan hari ini untuk Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Mahkamah menetapkan prosiding lafaz cerai dibuat hari ini selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian.
Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4. – Malaysiapost