Anggota polis saman individu tak pamer cukai jalan disiasat
SIASATAN dalaman akan dijalankan terhadap anggota polis peronda yang mengeluarkan saman terhadap individu gagal mempamer cukai jalan di Jalan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya telah mengesan satu hantaran dimuat naik pemilik akaun Facebook, Faiz Sulaiman mengenai saman dikenakan terhadapnya.
“Pemilik akaun tersebut berkongsi sekeping saman POL.257 yang telah dikenakan ketika di lokasi kejadian.
“Semakan polis mendapati, saman telah dikeluarkan oleh anggota polis pada 16 April lalu atas kesalahan gagal mempamerkan cukai jalan,” katanya menerusi kenyataan.
Fakhrudin menjelaskan, arahan telah dikeluarkan kepada petugas di lapangan untuk tidak mengenakan saman berkaitan kesalahan tidak mempamerkan lesen kenderaan motor.
Katanya, ia sesuai arahan dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan pada 10 Februari lalu.
“Siasatan dalaman akan dibuat keatas anggota yang terlibat susulan kecuaian yang dilakukan.
“Kita juga telah membuat pembatalan ke atas saman tersebut,” katanya.
Pada 10 Februari lalu, orang awam tidak perlu lagi memaparkan lesen kenderaan motor (LKM atau ‘roadtax’) pada kenderaan sebaliknya menggunakan mod paparan digital.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif itu bertujuan mengatasi isu pelekat LKM yang kerap rosak dan bermasalah sebelum ini. – Malaysiapost