‘Doakan saya tadbir negara lebih lama’ – Anwar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta rakyat mendoakan supaya beliau dapat mentadbir negara lebih lama bagi merealisasikan usahanya untuk membawa perubahan kepada negara.

Menurutnya, pembaharuan tidak boleh dilaksanakan sekiranya tiada kesungguhan dan ketegasan daripada semua pihak termasuk pemimpin dan rakyat.

Katanya, Malaysia perlu dikenali sebagai negara yang bebas daripada persepsi negatif seperti rasuah, persengketaan kaum dan agama.

“Mana mungkin umat Islam dapat mengangkat negara ini dalam konteks Madani kalau kita tidak sanggup membuat perubahan dari atas sampai ke bawah.

“Sebab itu kalau tindakan keras dan tegas saya mula dari atas kerana rosaknya sistem negara dari pimpinan di atas.

“Kalau jadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan, pimpinan negeri atau penjawat tinggi kalau kerja mereka cari kekayaan diri sendiri, keluarga, anak, isteri atau menantu, jahanam negara.

“Sebab itu saya tidak sanggup bertolak ansur…apapun ugutan dan ujian saya bawa roh Ramadan, mesti ada usaha membersihkan jiwa diri dan kalau kita pegang jawatan adalah untuk sistem negara.

“Kita tidak mahu lagi negara heboh dengan skandal rasuah…kita amanahkan kepada pimpinan, pimpinan silih berganti…berapa Perdana Menteri sudah berapa tahun ini…doa bagi saya lama sikit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada pelajar tahfiz dan anak yatim di Masjid Ahmadi, Kampung Rantau Panjang, Klang, hari ini.

Pada masa sama, Anwar berkata, perubahan terhadap negara hanya boleh memberikan kesan sekiranya ia dilakukan dengan penuh keikhlasan dan tekad.

“Negara ini kita cuba membawa perubahan…kita tidak boleh kekal di tahap lama.

“Saya tidak peduli orang guna slogan apapun, persatuan, Melayu, Islam, Keadilan…apapun tidak akan beri kesan jika tiada keikhlasan dan tekad dalam membuat perubahan,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto Utusan Malaysia

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights