‘Gaduh dalam bilik, bukan tempat terbuka’, Ismail Sabri nasihat pemimpin parti kerajaan

‘Gaduh dalam bilik, bukan tempat terbuka’, Ismail Sabri nasihat pemimpin parti kerajaan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan isu ‘kahwin paksa’ antara Umno dan DAP bukanlah bertujuan memecah-belahkan kerjasama antara parti dalam kerajaan perpaduan itu.

Sebaliknya, beliau berkata, ia adalah satu teguran supaya hubungan antara parti dalam kerajaan perpaduan dapat diredakan sekali gus menghentikan serangan sesama sendiri.

Menurutnya, sebagai orang tua beliau menegur dengan harapan dapat memberi kesedaran kepada DAP dan Umno agar tidak bergaduh di khalayak ramai.

Katanya, pergaduhan secara terbuka apatah lagi melalui media akan mewujudkan pandangan yang negatif terhadap kepimpinan parti.

“Bila bergaduh secara terbuka menggunakan media, semua orang akan baca. Jadi rakyat berpandangan pemimpin parti sudah tidak sehaluan kerana bergaduh sesama sendiri.

“Rumah tangga yang bahagia bergaduh di dalam bilik, gaduh di dalam rumah… tertutup, orang pun tak nampak. Petua orang tua dulu, jangan bergaduh di laman rumah. Jiran, orang lalu lalang tengok.

“Jadi, saya harap apabila menegur itu, mereka menerima dengan baik dan bekerjasama lebih rapat, jika ada masalah jangan serang sesama sendiri. Itu tujuan saya apabila sentuh perkara tersebut,” katanya

Bekas Naib Presiden Umno itu berkata, bagaimanapun tindakan beliau menegur kedua-dua parti tersebut disalah tafsir termasuk pemimpin Pakatan Harapan (PH), sedangkan niatnya untuk kebaikan bersama.

Katanya, teguran tersebut dibuatnya adalah berdasarkan pemerhatiannya di media apabila pemimpin kedua-dua pihak saling berbalas serangan termasuk membabitkan kes bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

“Tapi semua orang sensitif sampai saya tak boleh buka mulut untuk tegur walaupun berniat baik. Ini dah dekat nak pilihan raya, macam mana rakyat tengok kamu bergasak sesama sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata, ‘kahwin paksa’ antara Umno dan PH mungkin tidak mampu bertahan.

Kenyataan Ismail Sabri itu timbul susulan pemimpin Umno dan DAP bertelagah sambil mengkritik satu sama lain. – Malaysiapost

Komen