Keluarga Altantuya rayu naikkan ganti rugi RM5 juta

KELUARGA model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu mengemukakan rayuan dan menuntut Kerajaan Malaysia serta tiga yang lain membayar pampasan lebih daripada RM5 juta di atas kematian wanita itu 17 tahun lepas.

Ganti rugi RM5 juta itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi (sivil) Shah Alam pada 16 Disember tahun lepas selepas membenarkan tuntutan saman keluarga mendiang.

Ia dengan itu memerintahkan defendan iaitu kerajaan, dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar serta penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, membayar jumlah tersebut.

Azilah dan Sirul Azhar dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi (Jenayah) Shah Alam pada 9 April 2009 selepas didapati bersalah membunuh Altantuya manakala Abdul Razak Abdullah yang dituduh bersubahat dibebaskan pada 31 Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka, bagaimanapun hukuman mati dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Sementara itu, peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga mendiang memberitahu media, anak guam merayu keputusan mahkamah supaya empat defendan membayar lebih RM5 juta, namun jumlah spesifiknya masih belum diputuskan.

Katanya, pihaknya mengambil pendirian RM5 juta tidak memadai berdasarkan fakta kes dan isu mengenai berapa jumlah (perlu dibayar kepada keluarga mendiang) akan dihujahkan ketika pendengaran rayuan nanti.

Katanya, rayuan itu difailkan pada Januari lalu dan pengurusan kes ditetapkan pada 13 Jun depan, manakala rayuan kerajaan dan Abdul Razak berhubung keputusan memerintahkan mereka membayar ganti rugi akan disebut pada tarikh sama.

Pada 4 Jun 2007, ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa, serta dua cucu mereka iaitu Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga memfailkan saman itu dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta.

Mereka mendakwa kematian Altantuya menyebabkan mereka mengalami trauma mental serta psikologi dan memohon dibayar pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.

Bagaimanapun, nama Altanshagai dikeluarkan daripada senarai plaintif selepas meninggal dunia pada 2017.

Azilah Hadri ketika ini menjalani hukuman di Penjara Kajang sebagai banduan akhir manakala Sirul Azhar melarikan diri ke Australia ditahan imigresen di pusat tahanan Villawood, Sydney. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights