PAS memandang serius luahan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Umno tidak akan berjaya kerana “tiada rasa cinta” antara kepimpinan tertinggi parti atau di peringkat akar umbi.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Khairil Nizam Khairudin berkata ia adalah kenyataan yang benar dan telah dibuktikan apabila Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke membayangkan tidak akan beri laluan kerusi buat BN di Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Di Selangor pula katanya, jawatan Ketua Pembangkang diberi kepada Umno yang dakwanya suatu penghinaan jelas.
“Bila tiada cinta dijiwa antara PH dan BN, tiadalah pengorbanan demi setiakawan.
“Malah PAS melihat cinta palsu antara PH-BN hanyalah kerana kuasa dan jawatan selain mahu menyelamatkan kedudukan kelompok kluster mahkamah, di samping melunaskan hasrat seorang pemimpin yang ‘terlalu’ impikan untuk menjadi Perdana Menteri.
“Cinta palsu yang tiada rasa antara PH-BN ini pasti akan terlerai kerana rumah tangga mereka kini sedang berantakan, malah pada bila-bila masa boleh runtuh,” katanya menerusi kenyataan.
Selain itu, Khairil Nizam berkata DAP dan PH sebagai ‘Abang Long’ telah menggunakan kesempatan menunjukkan belangnya, pasti ramai wakil rakyat Umno amat tidak selesa seperti yang diluahkan oleh Ismail Sabri.
“PAS yakin PMX sedang cemas dengan situasi ini, kerajaan Madani “tanpa cinta” ini pasti roboh, namun lebih mendukacitakan kerajaan madani ini telah pun memangsakan rakyat kerana ketidakstabilan rumah tangga kahwin tanpa rela ini,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Ismail Sabri berkata, ‘perkahwinan paksa’ antara PH dan BN tidak akan berjaya jika tiada rasa cinta antara kepemimpinan tertinggi parti atau di peringkat akar umbi.
Bekas Naib Presiden Umno itu berkata, keretakan kini mula dilihat dalam ‘perkahwinan paksa’ antara parti dalam kerajaan kerana mereka secara terbuka menyerang satu sama lain. – Malaysiapost