Ketua Pemuda Amanah lepas tuduhan bantah harga barang

PENDAKWAAN menarik balik tuduhan ke atas Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Mohd Hasbie Muda yang didakwa gagal memaklumkan kepada pihak polis mengenai perhimpunan membantah kenaikan harga barang di ibu negara Julai tahun lepas.

Sehubungan itu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari melepas tanpa membebaskan Mohd Hasbie daripada tuduhan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Perkara itu dimaklumkan peguam belanya, Muhammad Faiz Fadzil kepada media ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, hari ini.

Menurut peguam itu, pendakwaan mendapat arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik tuduhan tersebut terhadap Mohd Hasbie yang juga Ahli Dewan Negara.

Katanya, ia susulan representasi yang dihantar pihaknya pada 17 Mac lepas untuk menarik balik tuduhan itu.

“Mohd Hasbie dilepas tanpa dibebaskan oleh Majistret Wong Chai Sia hari ini,” katanya.

Perkara itu turut disahkan oleh pihak pendakwaan.

Mohd Hasbie mengaku tidak bersalah pada 18 Ogos tahun lepas, atas pertuduhan iaitu selaku penganjur gagal memberitahu pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpuan di Masjid Jamek Kampung Baru, Jalan Raja Alang di sini pada pada jam 2 petang 1 Julai 2022.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Muhammad Faiz dalam satu kenyataan media menyambut baik keputusan menarik balik tuduhan tersebut.

“Keputusan ini adalah satu permulaan positif Kerajaan Madani yang menghormati hak dan kebebasan sivil untuk berhimpun dan menyatakan pandangan sepertimana dinyatakan dalam Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Perjuangan Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat ini dilihat benar-benar telus kerana Jabatan Peguam Negara tidak lagi menganggap perhimpunan aman sebagai menyalahi undang-undang,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights