Muhyiddin mohon batal 4 pertuduhan salah guna kuasa

TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta yang dihadapinya tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, pendakwaan mempunyai tanggungjawab mandatori untuk menyatakan mengenai cara kesalahan itu dilakukan bagi memastikan haknya selaku tertuduh dilindungi sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tegas Presiden Bersatu itu, ia bagi memastikan dirinya mendapat perbicaraan yang adil.

Kenyataan terbabit dibuat Muhyiddin dalam afidavit sokongannya menerusi notis usul difailkan semalam melalui firma guaman, Tetuan Chetan Jethwani & Co di Mahkamah Tinggi di sini semalam untuk membatalkan empat pertuduhan tersebut.

Sehubungan itu, beliau memohon agar mahkamah mengetepikan, membatal atau menangguhkan secara kekal kesemua keempat-empat pertuduhan itu demi mengelakkan kesalahan dilakukan terhadap pentadbiran keadilan.

Pada 10 Mac lepas, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu dalam afidavit sokongannya, kesemua tuduhan itu satu penyalahgunaan proses dan melanggar Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah kerana gagal menyatakan secara spesifik bagaimana beliau menyalah gunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan.

Jelasnya, pendakwaan telah menyebabkan beliau tidak dapat memberikan arahan yang betul bagi membolehkan satu pembelaan atau representasi yang wajar dibuat, sekali gus melanggar hak beliau di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

“Kegagalan pendakwaan juga telah menjejaskan hak saya untuk hidup kerana pertuduhan itu memaksa saya membayar yuran guaman, meminjam wang daripada keluarga dan rakan bagi membayar ikat jamin RM2 juta dan perlu menyerahkan pasport bagi mengelakkan daripada ditahan di penjara sehingga kes selesai.

“Tuduhan tersebut juga telah menyebabkan saya sering berasa bimbang dan tertekan sekali gus menjejaskan kesihatan mentalnya.

“Saya sesungguhnya percaya dan menyatakan bahawa tingkah laku responden (pendakwaan) dalam mengenakan pertuduhan-pertuduhan yang salah di sisi undang-undang tersebut telah mengaibkan nama baik dan reputasi saya,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, pertuduhan yang salah di sisi undang-undang terbabit membawa kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki terhadap dirinya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights