Orang tempah KFC tapi Anthony hantar McDonald’s, Ka Siong pula sindir menteri
PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meminta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memahami apa itu Super App yang kini lazim digunakan oleh pengguna untuk meninjau harga tiket penerbangan.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, Super App milik AirAsia adalah cara hidup rakyat Malaysia dan ia telah lama digunakan.
“Segala aduan yang dibawa oleh saya termasuk “printscreen” dalam Super App adalah sahih dan asli.
“Tiket berharga RM3,138 untuk kelas ekonomi KUL-TWU memang wujud! Menuduh saya tak dapat membezakan kelas ekonomi dan kelas perniagaan itu adalah tidak berasas dan mengarut.
“Hairan juga YB Anthony Loke semalam mendedahkan Malaysia Airlines (MAG) sedang mengambil tindakan terhadap AirAsia kerana menjual tiket MAG dalam Super Appnya.
“Kalau begitu, ianya membuktikan dakwaan yang saya ketengahkan adalah benar. Sampai MAG mengheret AirAsia ke mahkamah,” katanya dalam sidang media semalam.
Kesimpulannya, kata Ka Siong, AirAsia Super App memang didakwa kononnya mengaut keuntungan dengan menjual tiket MAG melalui Super App milik AirAsia.
“Eh, eh kalau begitu patutkah saya disindir kerana membawa satu masalah yang sahih?
“Harga tambang tiket ekonomi KUL-TWU yang terdapat dalam AirAsia Super App berharga RM3,138 berbanding pengumuman Anthony Loke semalam tiket ekonomi MH dari KUL-TWU ialah RM1,380.
“Persoalannya ialah siapa yang mengaut keuntungan RM1,758 ini (RM3,138-RM1,380)? MOT & MAVCOM patut siasat,” katanya lagi.
Ka Siong berkata, memang diakui tiket penerbangan tidak mencukupi khususnya dari Kuala Lumpur ke Tawau dan sebarang usaha kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dialu-alukan.
Beliau juga menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri semalam semalam untuk menurunkan harga tambang bagi penerbangan pergi balik Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
“Anthony Loke menjemput saya ke KLIA untuk “sending off” penumpang AirAsia yang nak balik ke Tawau. YB apa hal ini? Sejak bila saya pernah menuduh AirAsia tidak menawarkan harga tambang yang berpatutan?
“Apa yang saya ketengahkan semua mengenai tiket ekonomi Malaysian Airlines, kenapa alih topik pula? Ini seolah-olah ada orang yang menempah KFC tapi YB Anthony “deliver” McDonald’s?
“Pendek kata, itu adalah “non-starter”, twisting namanya,” katanya.
Sebelum ini perdebatan mengenai isu harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau di Sabah ibarat tidak berkesudahan apabila Loke menyindir Ka Siong beberapa hari lalu.
Malah, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban menyindir bekas Menteri Pengangkutan itu kerana memilih untuk menggunakan aplikasi AirAsia untuk membeli tiket penerbangan Malaysia Airlines, meskipun syarikat itu sudah pun mempunyai aplikasi sendiri.
“Beliau takkan tak tahu Malaysia Airlines ada aplikasi sendiri. Kalau periksa tiket Malaysia Airlines, mengapa guna aplikasi AirAsia?
“Ini macam hendak beli KFC tetapi pergi ke McDonald’s, jadi ini tidak masuk akal,” katanya. – Malaysiapost